Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung

ketua kg 2.jpg

Pada majlis itu, Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Hj Abdul Karim menekankan bahawa acara tersebut merupakan peluang kepada penduduk bagi mengundi dan memilih calon ketua kampung berkenaan dengan sebaik-baiknya dan teliti.

"Selaku penduduk di kampung berkenaan, mereka lebih mengenali dan mengetahui latar belakang serta keperibadian calon ketua kampung berkenaan," tambahnya.

Pemilihan yang dibuat itu nanti, jelasnya lagi, akan menentukan masa depan kampung ini dalam hal ehwal kebajikan seperti yang diharapkan bagi tempoh lima ke 10 tahun mendatang.

Dalam perkara ini, ketua kampung perlulah mempunyai perwatakan dan kewibawaan yang tinggi dan selaku pemimpin masyarakat setempat, ketua kampung mestilah mempunyai beberapa ciri-ciri khusus antaranya ialah berakhlak, bersifat amanah, adil, sabar dan pemaaf.

Sehubungan itu, ke arah mencapai hasrat serta wawasan bagi membangunkan dan memajukan kampung khususnya Kampung STKRJ Sungai Buloh (Bukit Sibanging), pemimpin dan penduduk kampung perlulah bekerjasama dan menanamkan sifat perpaduan dan permuafakatan dalam sama-sama menjaga segala kemaslahatan serta kebajikan kampung berkenaan secara berterusan.

Jawatan Ketua Kampung STKRJ Sungai Buloh (Bukit Sibanging) merupakan satu jawatan baharu yang diwujudkan setelah ia diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Persuratan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang bertarikh 26 Januari 2015.

Jabatan Daerah Brunei dan Muara mendapati hanya seorang calon sahaja yang memenuhi kelayakan dan pensyaratan baharu Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Negara Brunei Darussalam 2013 setelah penelitian dan penilaian yang dijalankan oleh jabatan berkenaan.

Antara lain pensyaratan calon tersebut ialah hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya kelulusan akademik 2 GCE peringkat 'O' dan berumur antara 45 hingga 55 tahun.

Calon tunggal yang diundi itu ialah Awang Hamidun bin Mohd Daud, 45 dan masih lagi berkhidmat dengan Kementerian Pertahanan sebagai Penyelenggara Stor Tingkat II, di mana beliau sudah menetap di STKRJ Sungai Buloh (Bukit Sibanging) selama tujuh tahun.


Created at 12/03/2018 16:17 by Hasnani binti Hj Md Noor
Last modified at 23/05/2018 10:27 by Hasnani binti Hj Md Noor